Suka Cerita Bff-Inspiration?Silalah LIKE!

Wednesday, June 12, 2013

Mini E-Novel : Bab 1 Kisah Cinta Kita


                                
sumber gambar dari: google

           Pagi ini aku bangun lebih awal daripada hari-hari yang biasa, bersiap untuk memulakan hari baru.  Maklumlah, hari ini adalah hari pertama aku akan melaporkan diri di sebuah bank untuk menjalani latihan praktikal selama 5 bulan.  Aku mendapat tawaran untuk menjalani latihan praktikal di Cimb Bank di Melaka.  Tak sangka sekejap je aku sudah di semester empat.  Pantas sungguh masa berlalu. 

            Aku terkenang sejenak sewaktu mula-mula aku hendak menjejakkan kaki ke politeknik. Bermacam-macam alasan yang aku berikan kepada abah kerana tidak mahu ke politeknik.  Sudahlah jauh, tiada kawan-kawan pula nanti susah nak balik ke kampung.  Aku menjadi serba salah sama ada mahu melanjutkan pelajaran atau bekerja.  Namun atas pemintaan abah untuk melihat satu-satunya anak perempuannya melanjutkan pelajaran, aku terpaksa akur dengan keputusan abah.
 
            Ya… Aku seorang sahaja anak perempuan yang abah dan ibu ada, Abang Ridzuan telah melanjutkan pelajarannya ke peringkat Ijazah Sarjana Muda Undang-undang di Universiti Malaya.  Dan sebab itulah juga abah mahu aku melanjutkan pelajaran juga.  Sekurang-kurangnya di peringkat diploma kerana abah tidak mahu aku ketinggalan.  Kata abah, biarlah aku punya kelulusan lain selain SPM.  Abah tidak mahu aku terlalu bergantung dengan SPM sahaja.

            “Ilmu itu sangat penting.  Mungkin buat masa ini, Syira rasa tak penting.  Tapi percayalah kata abah Syira, masa akan datang ia akan sangat berguna untuk kehidupan dan juga untuk mendapat pekerjaan."  Nasihat abah kepada aku.  Aku hanya mampu mendiamkan diri mendengar kata-kata abah.

            Dan akhirnya, aku akur dengan keputusan abah.  Suka ataupun tidak, aku menggagahkan diri juga untuk menyambung pelajaranku dalam jurusan Perbankan di Politeknik Ungku Omar.  Sebuah politeknik yang tertua di Malaysia.  Sepanjang dua bulan yang pertama aku di sana, aku memang kerap pulang ke kampung.  Maklumlah aku tidak pernah berenggang dengan abah dan ibu.  Paling jauh pun aku pernah ke kursus pengawas di Kem Lancang. Itulah pertama dan terakhir aku berjauhan dengan abah dan ibu.  Waktu itu terasa sangat terseksa, namun ianya terpaksa juga aku tempuhi dan kini sekali lagi aku harus menempuh kehidupan berada di tempat orang.  Ini semua untuk memenuhi permintaan abah.

            Tapi semuanya berubah setelah aku berjumpa dengan Melisa Merdina, kawan sekuliahku yang berasal dari Selama, Perak.  Kawan yang sangat memahami dan juga yang paling penting dia mempunyai keserasian denganku.  Banyak perkara yang kami kongsikan bersama hingga dia membuatkan aku lupa untuk pulang ke kampung pada setiap hujung minggu kerana masa kami dipenuhi dengan pelbagai aktiviti.  Sesekali kami menghabiskan masa mengulangkaji pelajaran bersama dan setiap hujung minggu adakalanya kami ke shopping mall untuk menghilangkan tekanan belajar.  Begitu besar pengaruhnya kepada aku.

            Sekiranya aku tidak pulang ke kampung pada hujung minggu, aku dan Melisa gemar ke  Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz yang terletak tidak jauh dari rumah sewa kami.  Kami banyak menghabiskan masa untuk berekreasi di sana seperti berjogging, dapatlah aku menguruskan badan aku tapi Melisa yang beria-ia mahu menguruskan badannya kerana sejak kebelakangan ini badannya nampak semakin berisi.  Aku? Badan aku sudah cukup melidi dan aku banyak berjalan sebenarnya daripada berjoging.  Sekadar menjadi peneman kepada Melisa.  Paling tidak pun aku  hanya berjalan-jalan untuk mengambil angin sambil memerhatikan orang sekeliling di situ dengan pelbagai gelagat.  Sesekali tersengih aku sendirian di suatu sudut bila sedang menunggu Melisa berjoging.  Walaupun aku kurus tapi tetap berhadapan risiko penyakit kalau tidak bersenam.  Dengan mengisikan hari-hari aku di sini dengan pelbagai aktiviti, dapatlah aku mengurangkan rasa rindu aku terhadap kampung dan yang paling utama dapat mengurangkan rasa rinduku terhadap ibu serta abah.

            Sahabat bukan sahaja sekadar bersama kita pada saat kita senang namun dia akan sentiasa di sisi kita di saat susah.  Itulah erti sebenar seorang sahabat dan itulah yang ada pada Melisa sepanjang aku berada di Perak.  Kami berkongsi apa jua bersama,  dia memang seorang sahabat yang baik.  Perasaan rindu pada Melisa tiba-tiba datang saat aku sedang mendengar lagu yang berputar di radio ketika aku berada di dalam kereta abah yang mahu menghantarku ke tempat praktikal.

            “Kau ada dikala ku suka…dikala ku duka….di setiap tangis dan juga tertawa.  Kau ada dikala ku perlu…setia menemaniku..pegang erat tangan ku bila aku jatuh…….”  Itulah bait-bait lagu yang sangat menyentuh perasaanku.  Lagu yang bertajuk 'Sahabat' nyanyian Najwa Latif.

            Lagu ini yang mengingatkan aku kepada Melisa yang sememangnya sahabat sejati. Tiba-tiba aku teringat peristiwa yang berlaku di politeknik.  Kaki aku  terseliuh sewaktu aku menuruni anak tangga selepas habis kuliah. Akibat terseliuh, aku tidak dapat tidur malamnya kerana kaki aku mula membengkak dan terasa berdenyut-denyut.  Aku hanya mampu mengerang kesakitan.  Melisa yang menemaniku.  Dia juga tidak tidur pada malam itu menolong menggosok kaki aku dengan minyak panas hinggalah aku terlelap.  Begitu besar erti persahabatan yang dia tunjukkan kepada aku hingga aku rasa tidak mampu membalasnya. 

            Aku tiba betul-betul di hadapan Cimb Bank tempat aku akan menjalani latihan praktikum.  Selepas bersalaman dengan abah, aku segera turun dari kereta.  Mempercepatkan langkah untuk masuk ke dalam.  Sewaktu mahu berjalan masuk, aku teringat mahu menelefon Melisa terlebih dahulu.  Tanpa membuang masa aku mencapai telefon bimbit aku yang berada di dalam beg tanganku lalu mendail nombor telefon Melisa.  Setelah beberapa saat menunggu, terdengar suara Melisa yang ceria di hujung talian.

           “Hello..Cik Khalisyah Insyirah.  Kenapa telefon aku pagi-pagi buta ni??Rindu ke…???”Itulah ayat pertama yang aku dengar daripada Melisa.  Suaranya sangat ceria.  Walaupun ada masa kata-katanya agak menyakitkan hati tapi rindu untuk aku dengar.
            “Ye..Cik Melisa Medina binti Muzafar.  Tak payah nak perasan sangat.  Aku cuma nak tanya yang kau tu dah bangun ke belum?Mana la tau kalau kau masih berselimut lagi diulit mimpi.  Hari ni kan hari pertama kita praktikal.  Aku tak naklah kau lambat pulak!"  kataku selamba dengan panjang lebar.  Terdengar Melisa tergelak kecil di hujung talian.

            “Uittt…Nama penuh aku kau sebut.  Dah macam dalam IC.  Aku dah sampai dah tempat praktikal aku.  Pagi-pagi buta lagi aku dah bangun.  Tak nyenyak tidur malam tadi sebab nak fikirkan pasal hari ini.  Takutlah kalau-kalau kena buli ke…kan??Dahlah tak ada kawan.  Kena cari kawan baru lagi.  Kau kan jauh kat Melaka.  Aku pula kat sini.  Kan best kalau kita praktikal sekali."  Melisa berkata panjang lebar.  Dia kalau sudah bercakap memang tidak sempat nak potong percakapannya.  Melisa juga menjalani latihan praktikal di salah sebuah bank di Ipoh.  Pada mulanya memang aku mahu sahaja menjalani latihan praktikal di Ipoh, tapi atas desakan ibu untuk balik ke Melaka dan berpraktikal di sini aku pun memohon di Cimb Bank Melaka.

            "Tapi, apa yang aku nampak tadi. Dari pintu aku masuk, semua staff kat sini senyum je.  Maknanya dia orang ok la kot.  Tidaklah sombong.  Kau tu sibuk nak tau pasal aku.  Kau dah sampai belum tempat kau nak paratikal tu??"  Sambungnya lagi.

            “Tu la aku pun risau ni.  Macam mana la tempat praktikal aku pula?Dahlah kau tak ada.  Kalau kau ada semangat sikit aku ni.  Okeylah Lisa, aku dah masuk ni.  Nak masuk dalam.  Tadi aku kat luar lagi.  Takut pulak nak masuk.  Berdebar-debar ni.  Ishhhhhh macam mana ni Lisa??”  Rungutku pula.

            “Kau ni jangan nak over la Syira!Relaks okey.  Tarik nafas dan baca bismillah.  Set dalam otak kau tu yang everything gone be ok..!!!"  Kata-kata Melisa membuatkan aku sedikit lega.  Aku menarik nafas panjang.

            "Ingat!!Berfikiran positif jadi semua akan menjadi positif!Okeylah Syira.  Aku dah dipanggil masuk ni.  So wish me luck and same goes to you.  Bye Syira."  Kata Aida.

            “Ok good luck.  Bye, Lisa.”  Lantas talian pun dimatikan.  Lega rasanya bila dapat bercakap dengan Melisa.  Setiap kali bercakap dengannya, terasa macam semua unsur-unsur positif teserap masuk ke dalam diri aku.  Namun debaran aku untuk masuk ke dalam masih belum reda.

            “Okey, Syira.  Berfikiran positif.  Semuanya akan baik.  Tak payah risau-risau.  Senyum!!” Aku berkata sendiri cuba menenang hati aku yang semakin berdebar ini.  Segera berpaling ke kiri kananku, takut-takut ada pula sesiapa yang terperasan aku bercakap seorang diri.  Ada pula dikatakan 'gila' nanti.  Confirm!Tak ada orang nampak.  Aku tersenyum sendiri.

            Aku meneruskan langkah ke dalam dengan penuh semangat.  Aku melemparkan senyuman apabila kelihatan seorang wanita berbaju kurung berwarna biru serta bertudung corak bunga-bunga berada di kaunter pertanyaan.  Dia lantas membalas senyumanku dan aku berasa sedikit lega apabila melihat wanita itu membalas senyumanku.  Aku berjalan menuju ke kaunter untuk membuat pertanyaan kepadanya.  Setelah aku memperkenalkan diri bahawa aku adalah pelajar dari Politeknik yang akan berpraktikal di sini, lantas wanita tersebut memperkenalkan dirinya kepada aku sambil menghulurkan tangan.

            “Hai…Nama akak, Emma.  Selamat datang dan selamat menjalani praktikal di sini.”  kata Kak Emma dengan senyuman.
Sambil tersenyum aku menjawab  “Hai, nama saya Khalisyah Insyirah.”
           
           “Panjangnya nama.  Akak nak panggil apa ye?Khalisyah ke atau Insyirah?"  Soalnya.
            
            Aku tersenyum mendengarnya.  “Panggil saya Syira je.” jawabku ringkas.
          
           “Syira tunggu dulu ye.  Lepas ni akak bawa Syira jumpa dengan manager dekat sini. Nanti dia akan beritahu apa tugas awak.”  Aku cuma menganggukkan kepala dan berdiri di suatu sudut.           Aku dipanggil oleh Kak Emma setelah beberapa minit dia ke dalam.  Katanya mahu membawa aku berjumpa manager bank tdi situ.  Aku hanya mengikuti Kak Emma dari belakang.  
      
             Kami tiba di hadapan sebuah bilik dan pada pintu bilik itu jelas terpampang plat yang tertulis "EXCUTIVE MANAGER IRSHAD NAUFAL" menunjukkan inilah bilik pengurus yang akan aku berjumpa.  Kak Emma menyuruh aku masuk ke dalam lalu pergi meninggalkan aku di situ.  Beberapa saat aku berdiri di hadapan bilik pengurus itu.  Perasaan menjadi tidak keruan, hati aku mula berdebar-debar untuk masuk ke dalam.  Berkali-kali aku berselawat untuk menghilangkan perasaan gemuruhku.  Kenapalah dengan aku ni.  Ini baru nak praktikal.  Gemuruhnya macam orang nak hadir temuduga je.  Over betul aku ni.  Desis hatiku.

            “Relaks Syira."  sempat aku berbisik sendiri.  Lantas aku mengetuk pintu bilik pengurus itu.
            
             Apabila aku mendengar suara menyuruh aku masuk barulah aku melangkah masuk ke dalam bilik tersebut dengan penuh rasa yakin.  Setelah pintu bilik dibuka, kelihatan seorang lelaki yang umurnya mungkin dalam lingkungan 30an sedang sibuk membelek dokumen-dokumen di atas mejanya.  Mukanya aku lihat agak serius.  Tatkala melihat wajahnya lelaki itu, keyakinan aku yang pada mulanya menebal kini sudah semakin menipis.  Lelaki itu sedikit pun tidak mendongakkan kepalanya, masih tekun membuat kerja-kerjanya.

            “Selamat pagi encik."  Aku mula menyapa lelaki itu dan dia terus memandang ke arahku.  Tiada senyuman yang dilemparkan malah memandangku dengan wajah yang agak garang. 
            
            “Ya selamat pagi.  Awak Khalisyah Insyira??”  soalnya dengan suara yang garau dan sedikit tegas.
           
            “Ya encik…” Jawabku dengan tenang.
            
            “Belajar ambil course apa.??”  soalnya lagi.
            
            “Perbankan, encik..”
            
            "Mestilah ambil course perbankan kan?Kalau tidak takkan awak nak buat praktikal dekat bank pula."  katanya yang seakan menyakitkan hatiku.  Dia ni sahaja nak berlawak jenaka ke atau memang suka bercakap menyakitkan hati.  Nak kata berlawak tak ada pula dia tergelak mahupun tersenyum.  Gilalah!  Sempat juga aku berkata di dalam hati.  

           “Emmm..Kalau macam tu, buat sementara waktu ni awak duduk di kaunter dengan Kak Emma.  Bolehlah belajar cara bercakap dengan pelanggan-pelangan bank ni, nanti lepas tu saya akan fikirkan kemudian.  Awak akan menjalani praktikal di sini selama 5 bulan kan? 
            
            Aku sekadar menganggukkan kepala.  Saat aku ingin bangun, "Sebelum tu.  Awak dah tahu tak siapa nama saya?"  soalnya lagi.
            
           “Tahu encik..!!” jawabku pendek.
            
           "Baguslah macam tu.  Praktikal kat sini lima bulan jangan sampi nama saya pun awak tak kenal ye.”   Kata Encik Irshad Naufal seakan memerliku.  Raut wajahnya masih lagi serius memandang tepat ke arah tanpa senyuman terukir sejak aku masuk tadi.  Hatiku semakin berdebar melihat ke arah lelaki itu.  Mentang-mentang manager sombong pula.  Desis hatiku.
             
           “Awak boleh keluar sekarang jumpa dengan Kak Emma. Nanti dia akan beritahu awak dan ajar apa yang patut."  Jelasnya lagi.  Aku hanya mendengar penjelasan daripadanya.  Kemudian aku terus melangkah menuju ke pintu untuk keluar dan tiba-tiba kedengaran suara dari belakang.
            
           “Selamat berpraktikal di sini." ujarnya  Aku hanya tersenyum saat aku menoleh ke belakang melihatnya.
            
           “Terima kasih Encik Irshad..” Aku tidak menyangka pula aku yang dia akan berkata sedemikian.  Pandangan matanya yang kuyu tu boleh buat aku cair.  Walaupun dari masa aku masuk tadi sehinggalah aku keluar dari biliknya, sedikit senyuman pun tidak dilemparkan kepadaku namun aku lihat dia seorang lelaki yang segak.  Mungkin sudah menjadi peelnya susah senyum pada orang.  Senyum pun susah.  Bukan kena bayar pun.  Senyuman itu kan satu sedekah.  Aku merungut sendiri sewaktu berjalan ke kaunter untuk mendapatkan Kak Emma semula.

            Aku tiba di kaunter dan kelihatan Kak Emma sedang sibuk melayan sepasang pelanggan.  Selepas pelanggan itu beredar mengambil nombor giliran, Kak Emma mendapatkan aku.
            
            “Macam mana??Okey tak jumpa dengan Encik Irshad tadi?”  soal Kak Emma.
            
            “Okey je.  Tapi nampak dia tu macam garang je.”
            
            “ Siapa..?” soal Kak Emma minta kepastian.
            
            “Encik Irshad tu la..”
            
            “Garang?Kenapa pula Syira kata macam tu? Akak rasa dia tak garanglah." 
            
            “Ye ke?Dari saya masuk tadi, sampailah saya keluar dari bilik dia tu sikit pun dia tak senyum.  Serius je muka dia..”  jelasku.
            
            “Oh..dia memang nampak serius je tapi sebenarnya dia okey. Tu dia saje nak sakat kamu atau dia tengah ada masalah."  beritahu Kak Emma.
            
            “Mungkinlah tu.”
            
            “Dah tak payah risau sangat, dia bukan saja okey tapi tersangat-sangatlah okey.  Lama-lama nanti kamu kenal dialah.”
            
             Aku mencebikkan bibir mendengar kata-kata Kak Emma itu, sambil mengambil tempat duduk bersebelahan dengan Kak Emma.  Kaunter yang kelihatan agak besar tetapi hanya kak Emma sorang sahaja yang menjaganya untuk pelanggan yang berkunjung di bank itu membuat sebarang pertanyaan.  Kemudian aku di ajar oleh Kak Emma cara menjawb telefon, melayan pelanggan yang membuat pertanyaan dan banyak lagi.  Kata Kak Emma, bermacam-macam karenah pelanggan yang datang. 
           
            Selesai Kak Emma memberi sedikit tunjukajar,  telefon di kaunter pun berbunyi.  “Sekarang akak nak Syira pula jawab.  Tadi akak dah ajar dan Syira pun dah tengok cara akak jawab.”
            
            “Cimb bank…Selamat pagi. Syira di sini, boleh saya bantu.”  Kataku saat gagang telefon diangkat.
            
            “Selamat pagi..!!”kedengaran suara seorang lelaki yang agak meninggi di hujung talian.
            
            “Ye encik.  Boleh saya bantu?” soalku.
            
            “Macam mana bank buat keje ni??Saya masukan RM500 dalam bank semalam tapi bila saya check tengah hari ni bukan lagi bertambah duit saya tapi lagi kurang ni…Ape cerita…?????  tengking lelaki itu.
            
            “Oh ye ke encik??Mungkin ada kesilapan teknikal.”  Belum sempat aku menghabiskan percakapanku, sekali lagi aku disergah oleh lelaki tersebut.
            
             “Teknikal-teknikal…Semua pegawai-pegawai dekat sana buat apa..?? tido..!!!!”  herdiknya sekali lagi.
            
             Berdesing sungguh telingaku mendengar intonasi lelaki itu yang sudah meninggi.  Sangat-sangat tidak sopan.  Terasa ingin sahaja aku meningalkan tempat itu sekarang juga.  Sebak rasa hati aku tiba-tiba aku dimarahi tanpa melakukan apa-apa.  Sudahlah hari ini adalah hari pertamaku di sini, dimarahi pula.  Dengan mengumpulkan kesabaran dalam diri, aku menjawab dengan nada yang lembut.  Cuba menenangkan lelaki tersebut.
            
            “Bukan macam tu encik.  Macam ni lah encik, lebih baik encik datang sahaja ke sini terus, jadi pihak kami lebih mudah boleh membantu encik.  Kita boleh membuat penyemakan di sini."  Jelasku.
            
             Sejurus selesai aku berkata sedemikian, kedengaran gagang telefon dihempaskan dengan kuat dan talian pun terputus.  Salah ke aku cakap?Aku bagai tersentak dan tidak semena-mena mataku mula berkaca dan akhirnya air mataku jatuh juga.  Aku memang cepat terasa.  Sensitif yang paling kritikal.  Silap sikit memang menangis.
            
            “Eh…kenapa ni Syira??”Tanya Kak Emma pelik apabila melihat aku sudah berair mata.
            
            “Janganlah macam ni.  Kenapa menangis ni?? Sudahlah tu.  Nanti orang nampak apa pula kata mereka."  Kata Kak Emma sambil mengusap bahuku.  Aku menceritakan kepada kak Emma mengenai panggilan yang aku terima sebentar tadi.  Dalam tidak sedar, ada juga beberapa orang staff di situ turut memasang telinga.
            
            “Itu baru sikit Syira.  Mula-mula memang sedih.  Dulu akak pun macam tu juga.  Kita yang tak ada kena-mengena tiba-tiba kena marah.  Tapi bila dah lama-lama kita akan lali.  Dah tak kisah, orang nak marah ke nak tengking ke.  Sudahlah tu, jangan nangis lagi.  Kesat air mata tu.”  Kak Emma cuba memujukku.
            
            “Telefon ni memang puaka.  Kau kena tahan telinga je la.”  Sampuk Kak Syirin, salah seorang staff yang kebetulan lalu disitu.
          
             Hilang mood aku untuk hari ini.  Malu pun ada sebab hari pertama je sudah menangis.    Nampak gaya 5 bulan aku kena hadap perkara macam ni.  Dimarah, ditengking!Macam manalah Kak Emma boleh bertahan.  Dimarah dan ditengking sesuka hati.  Aku sudah tidak sanggup lagi nak teruskan dan tak sabar  menuggu waktu untuk pulang kerumah.  Mataku sekejap-sekejap mengerling ke arah jam tangan.  Namun setelah rakan-rakan di situ memberikn kata-kata semangat, menguatkan aku untuk terus di sini hingga ke petang.


            Tak sangka mereka di sini sangat baik dengan aku walaupun terdapat sesetengah daripada mereka yang kelihatan agak sombong.  Mungkin juga kerana aku masih terlalu baru di sini.  Mereka belum mengenali aku lagi.




-Myra Amni-

.........BERSAMBUNG..........

#Hakciptaterpelihara



1 comment:

  1. Bila nak dapat sambungan nie? ketagih dah nie...hehehe

    ReplyDelete

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen Anda..Sila Berkunjung Lagi Ke Blog Ini