Suka Cerita Bff-Inspiration?Silalah LIKE!

Thursday, September 19, 2013

Bab 7: Kisah Cinta Kita


            Hari ini adalah hari pertama aku memulakan kuliah untuk semester akhir.  Setelah menamatkan latihan praktikal, aku kembali ke sini bersama dengan kawan baikku, Melisa Medina.  Gembira rasanya bila dapat berjumpa rakan-rakan yang sudah lama tidak bertemu membuatkan aku hilang rasa sedih, rindu bila berjauhan dengan ibu dan abah.  Pejam celik sudah hampir tiga tahun aku berada di sini.  Negeri Perak Darul Ridzuan yang pada mulanya aku terasa berat hati untuk ke sini.  Tetapi atas desakan dan pujuk rayu ibu, ayah serta abang Ridzuan akhirnya aku menjejakkan kaki juga. 

      Tetapi ada satu yang tidak boleh aku lupakan.  Aku sendiri tidak mengerti kenapa aku perlu mengingatnya.  Dia sering bermain-main di minda.  Di mana-mana sahaja pasti bayangannya muncul.  Malah juga di dalam tidurku.  Angaukah aku?Tidak mungkin.  Teringat akan senyuman dia walaupun sesekali muncul wajah seriusnya.  Itu yang selalu terbayang diminda bagaikan pita rakaman yang dimainkan secara berulang kali.  

         “Hoi Syira..!!Apa yang kau menungkan tu?” Sergah Melisa yang membuatku tersedar daripada lamunan.

          “Ish..kau ni Melisa. Terkejut aku tau.  Janganlah sergah-sergah macam tu..kau nak aku mati cepat ke?” Marahku sambil tanganku pantas menampar lembut pada kaki Melisa yang baru sahaja ingin melabuhkan punggungnya bersebelahanku.

           “Ye..lah kau tu berangan tak ingat dunia, apa masaalah kau ni? cerita cepat..!Dari tadi aku tengok kau menongkat dagu seperti memikirkan sesuatu.  Ada apa-apa yang bermain di fikiran kau ke?” soal Melisa dengan dahinya sedikit berkerut. 

           “ Tak ada apa-apa la…” aku cepat-cepat menggelengkan kepala bagi menyakinkan Melisa.

          “Ye lah tu, tak apalah.  Orang tak nak kongsi dengan kita.  Soroklah macam mana pun mesti aku dapat tahu punya.  Tunggu la…” kata-kata Melisa yang berbaur mengugut.  Sememangnya dia begitu.  Pantang kalau aku berahsia apa-apa dengannya.  Mengamuk sakan nanti.  Teringat suatu peristiwa dulu masa aku berada di semester dua, seorang abang senior yang mahu berkenalan denganku.  Abang seniorku itu ada memberi aku sekeping nota perkenalan, namun tidak aku ceritakan pada Melissa.  Akhirnya terkantoi juga apabila Melissa menjumpai nota yang aku selitkan di dalam buku Perbankan Islam.

          Namun aku tidak menghiraukan semua itu.  Bebelan Melissa masih kedengaran di hujung telinga.   Aku hanya diam tidak berkutik.  Rasanya tidak perlu aku luahkan tentang perasaanku tika ini kerana aku sendiri tak pasti.  Rasanya tidak perlu wujud perasaan sebegitu dalam hati aku.  Dia adalah tunangan orang.  Tidak manis aku mengingati tunangan orang walaupun bak kata orang suami orang pun boleh dirampas, apa entah lagi baru bertunang.  Oh tidak!Oh tidak!Tidak akan aku bergelar perampas!Kumbang bukan seekor, bunga bukan sekuntum.  Dan yang paling penting aku kena sedar yang Irshad tidak pernah memberi harapan malah dia adalah orang yang paling ANTI aku.  Kalau pun dia berbuat baik dengan aku pun mesti bersebab.  Tidak lebih daripada itu.

         “Tolong sedar diri Syira..!!Lupakan dia…!Tak ada apa yang kau nak ingat..fokus untuk habiskan belajar je.  Perkara lain tolak ketepi.”  Jerit Syira di dalam hati.  Kalaulah jeritan itu boleh didengari Melissa di sebelahku, mahu sahaja dia terkejut beruk.  Aku tersenyum sendiri. 

            Bahuku ditepuk perlahan.  Rupanya makcik sebelah aku yang menepuknya.  Hilang lagi lamunanku.
‘Kacau daun betul.  Baru nak berkhayal.’  Bisik hati Syira

            “Woi, mak cik.  Kau mengelamun lagi.  Ini memang sah..parah betul penyakit kau ni..Cepatlah makan kuih ni.  Penat aku beli..”  Melissa sudah menghulurkan plastik merah kepadaku.

“Kuih buah Melaka..!?” jeritku seraya mengeluarkan kuih dari plastik.

           “Ye lah..Kau dah kenapa..?Pandang macam tak pernah tengok kuih ni je, kau tak makan ke?” soal Melissa ragu-ragu dan penuh kemusyilan.
Aku menggaru-garu kepala yang tidak gatal.

            “Taklah aku makan.  Tiba-tiba teringat seseorang.”  Jawabku acuh tak acuh.

          “Habis tu..!Tapi kau ingat dekat siapa ye?”  soal Melissa lagi ingin tahu.  Dia masih menanti dengan penuh harapan supaya aku bercerita.

            “Encik Irshad..Dia suka makan kuih ni..” Spontan jawapan itu keluar dari mulutku.

           “Syira, esok awak belikan kuih buah melaka tu lagi ye.”  Pesan encik Irshad suatu petang selepas aku memberi padanya beberapa kuih buih melaka yang aku beli di gerai makcik Senah berhampiran kawasan perumahanku.

         “Sedap betul.  Saya suka makan sebenarnya.  Mak saya rajin juga buat.”  Cerita encik Irshad walaupun tidak diminta.  Aku mendengar sahaja.  Dah orang mahu bercerita, layankan sahaja.

            “Irshad..?Oh..Inilah sebabnya kau termenung bagai..Kau syok dekat dia ke?Baik kau cerita dekat aku sekarang.  Tak payah nak sorok-sorok dengan aku lagi.  Are you falling in love?”

           Aku membuntang mata saat Melissa mengatakan samada aku menyukai pada Irshad.  Tidak mungkin.  Tapi...entah aku sendiri pun tak pasti dengan apa yang aku rasa.

      “Tak ada apa-apalah.  Kau pun tahu kan yang dia dah bertunang kan? jadi…” kata-kata aku terhenti disitu.

       “Jadi sekarang kau rasa yang kau tak mungkin dapat dia..tapi kau ada hati dekat dia kan?” Tanya Melisa dengan nada penuh serius masih mahukan jawapan pasti daripadaku.

      Aku hanya mampu mengangguk lemah untuk mengiakan tekaan Melissa.  Selagi aku tidak memberi jawapan padanya selagi itu dia akan tetap bertanyakan hal itu.  Buntu!

      “Kenapa kau tak cuba cakap pada dia apa yang kau rasa?Mana tahu dia ada rasa yang sama dengan kau..?”

        “Aku..??Nak cakap dengan dia yang aku suka dekat dia?Tak mungkin la...dah sah-sah aku ni bertepuk sebelah tangan.  Dia dah bertunang la..tak akan lah aku nak korbankan perasaan orang lain untuk jaga perasaan aku? Kalau dia terima aku tak apalah , kalau tak macam mana? tak…tak boleh..aku tak nak lagi rasa kecewa, biarlah kali ini cinta itu yang datang sendiri pada aku. Aku percaya yang tuhan dah tentukan jodoh yang terbaik untuk aku.”panjang lebar penjelasan aku kepada Melisa.

          “Lagi satu, takkan aku nak jadi perigi cari timba pula.  Kau betul ke tidak ni?Kawan aku ni tak waras suruh aku buat macam tu.”  Tanganku sudah diletakkan di dahi Melissa.  Pantas sahaja dia menepisnya.  Melissa memuncungkan mulutnya.

              “Ye..Jodoh tu ditangan tuhan tapi jodoh tu kena usaha juga kalau nak dapatkan dia.  betul tak?” soal Melisa kepada aku kerana dia seakan tidak berpuas hati dengan jawapan yang aku berikan.  Masih tidak mahu mengalah.  Dia kalau bercakap memang mahu menang sahaja.

             “Itu kalau orang tu suka juga dekat kita.  Ini bertepuk sebelah tangan, lagi pun dia tunang orang la Melisa..dah  kau tak payah tanya banyak-banyak.  Aku memang dah buat keputusan muktamad yang aku akan lupakan dia.  Lagi pun dia dah jadi sejarah je kut.. Sejak dia hantar aku balik masa kita orang keluar sama hari tu, dia tak pernah contact aku pun. Nampak sangat kan yang dia tak perlu aku dan aku pasti dia dah cukup bahagia dengan tunang dia tu.”  Kataku lemah.

              “Tapi..” kata Melisa yang masih ingin aku berbuat sesuatu supaya cinta aku berbalas.

            “Tak ada tapi-tapi lagi…cukup la aku tak nak fikir lagi.  Apa yang aku tahu nak habiskan belajar yang tinggal tak berapa bulan ni.  Lepas tu kerja dah akhir sekali aku baru fikir hal kahwin.  Tapi tak tahulah kalau ada orang meminag aku awal, awal lah aku kawin..” Seloroh aku kepada Melisa untuk memecahkan keresahan yang ada di dalam hati aku ini.  Aku tersenyum kelat. 

            “Kau pasti..?Aku nak kau tahu aku ada bila-bila masa kalau kau nak cerita atau apa-apa pun kau boleh cari aku janganlah pendam sorang-sorang..kata kawan kena lah share..”  Melissa sudah tersenyum riang.

        Mendengarkan kata-kata Melisa tadi membuatkan aku rasa akulah orang yang sangat beruntung kerana mempunyai sahabat yang sejati.  Dia sentiasa ada di saat aku susah dan senang.  Sentiasa bersikap prihatin terhadap diriku.  Bila aku berada dalam keresahan, dia pasti bertanya.  Seolah-oleh dapat membaca isi hatiku.

           “Ya..aku sangat-sangat pasti..Aku akan cuba lupakan dia.  Itu adalah penyelesaian yang terbaik untuk masalah aku ni, perasaan ini tak patut pun wujud dari awal lagi dan disebabkan itu juga aku dah suruh ibu carikan jodoh untuk aku senang tak payah nak pening-pening nak cari kan..?”

   Melissa sekadar tersenyum mendengar kata-kataku.  Senyuman yang agak sinis darinya sambil mengerlingkan matanya terhadap aku.  Mungkin dia tidak mempercayai setiap bait kata-kataku.

    “Agak-agaklah kalau kecewa pun tak payahlah buat keputusan sampai macam tu sekali..”  kata Melissa seraya bangun dari kedudukannya dan berlalu meninggalkan aku terpinga-pinga.

     “Tak percaya pulak..!Tapi yang aku cakap pasal suruh mak aku cari jodoh tu betul tau..” jerit aku kepadanya yang sudah beberapa langkah meninggalkanku.

       Melisa tidak menghiraukan kata-kataku dan terus mengatur langkahnya.  Mungkin dia tidak percaya dengan apa yang aku katakan namun itulah yang hakikatnya. Walaupun aku tahu apa yang diucapkan bukanlah lahir daripada hati dan pemikiran yang waras. Namun, itu sahaja langkah yang terbaik yang sepatutnya aku ambil sebagai perisai kepada hati aku agar tidak terus terluka.  Aku bangkit dari duduk dan terus berlari-lari anak mengejar Melissa yang sudah menjauh.





1 comment:

  1. akak bila nak update cerita ni.............dah lama saya tunggu

    dan saya mintak jasa baika akak untuk jengkuk blog saya pls

    inspirasi-imaginasi.blogspot.com

    ReplyDelete

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen Anda..Sila Berkunjung Lagi Ke Blog Ini