Suka Cerita Bff-Inspiration?Silalah LIKE!

Wednesday, October 15, 2014

Erti Persahabatan


Assalamualaikum dan selamat pagi..
Perkongsian mengenai persahabatan yang indah. 


Dari sahabatmu : Nor Faezah
Gambar : Mr. Google

Tuesday, September 23, 2014

Ulasan Buku Tetamu Istimewa

Teks : Fyda Adim
Foto : Sendiri

Assalamualaikum dan salam sejahtera...

Selamat pagi semua. Sudah beberapa kali tertangguh untuk menyiapkan entri ini. Ini adalah entri tugasan buatku. Tugasan untuk apa? Rahsia. Aku disuruh membuat ulasan tentang buku Tetamu Istimewa karya Cikgu Mohd Helmi Ahmad. Sejak aku kembali berjinak-jinak dengan hobi zaman sekolah, banyak novel dan buku-buku aku beli. Walhal ada buku yang belum terusik. Kekangan masa mengatasi segalanya namun masih lagi mencari peluang dan ruang untuk membaca.

Suatu hari, kebetulan aku menerjah blog Cikgu Helmi ini, terus berminat mahu membeli bukunya bertajuk 'Tetamu Istimewa' yang menghimpunkan cerpen-cerpen remaja. Aku ni dah jauh sangat umurnya kalau hendak digelar remaja. Tapi sesekali ubah selera membaca, apa salah kita meremajakan diri kita semula. Ada kawan panggil aku 'remaja purba'. Katanya. Marilah aku ulas serba sedikit tentang buku Tetamu Istimewa ini.

Buku bertajuk Tetamu Istimewa ini menghimpunkan sebanyak 15 buah cerpen hasil penulisan kreatif Mohd Helmi Ahmad. Tajuk buku ini diambil daripada salah satu tajuk cerpen yang terkandung dalam buku tersebut. Pertama kali aku membaca buku yang dihasilkan daripada seorang lelaki. Selalu aku beli penulisnya perempuan. Cerpen-cerpen yang terkandung dalam buku tersebut adalah :-

1) Rancanganku Rancangan-Mu
2) Kedondong untuk Cikgu
3) Tetamu Istimewa
4) Mercun dari Kuala Lumpur
5) Bunga Telur Kenduri Kahwin
6) Kuih Bakul Limau Mandarin
7) Haruan di Pinggir Sawah
8) Pusaka Tanpa Nilai
9) Piala Penentuan
10) Rombongan Masuk Jawi
11) Setitis Budi, Semarak Kasih
12) Hanya Geran
13) Pulut Durian Santan Kelapa
14) Muhammad al-Islam
15) Tentang Waris

Secara keseluruhan, cerpen-cerpen yang terkandung sangat menarik dan digarap cantik. Kagum dengan idea-idea penulis. Cerpen-cerpen yang terkandung mengisahkan tentang kekeluargaan, persahabatan, nilai-nilai murni dan bertemakan kasih sayang yang sesuai dengan diri remaja. Antara cerpen yang aku suka Setitis Budi Semarak Kasih. Kisah pengorbanan seorang ayah dan anaknya yang sentiasa memikirkan tentang ayahnya.

Selain cerpen itu, Kedondong untuk Cikgu dan Haruan di Pinggir Sawah juga menarik. Kisah konflik antara cikgu dan anak muridnya. Namun konflik tersebut akhirnya dapat dileraikan. Dan cerpen Tetamu Istimewa pun membuatkan aku terfikir sejenak apakah yang dimaksudkan dengan 'tetamu'. Membaca permulaan cerpen itu membuatkan aku meneruskan pembacaan kerana diri tertanya-tanya apakah itu? Cerpen ini yang unik antara cerpen-cerpen yang lain. Walaupun buku ini tidaklah setebal mana namun aku mengambil masa juga untuk menghabiskannya. Kadang baca sampai tertidur. Bukan kerana buku tersebut tidak menarik tapi memang gitu aku kalau membaca. Cikgu jangan berkecil hati ye.:D

Itu sahaja ulasan aku untuk buku Tetamu Istimewa. Aku tak pandai nak ulas panjang-panjang. Memang tabik dengan idea penulis ini. Semua cerpen-cerpen beliau ada mesej yang tersendiri. Jadi tidak rugilah untuk mendapatkan buku ini untuk dijadikan bahan bacaan kita. Boleh berhubung sendiri dengan penulis di blognya di SINI. Penulis ada buat promosi jualan buku tersebut. Dapatkan segera! Sekian dan wassalam...

Aku Penulisnya,






                                                                                                                   


Tuesday, August 5, 2014

Maksud Metafora dan Hiperbola

Assalamualaikum...
 
Selamat pagi semua.  Pagi ini entri ini berkaitan sedikit perkongsian.  Mungkin ada sesetengah orang yang tidak tahu akan maksud Metafora dan Hiperbola.  Aku dapatkan info untuk korang semua.  Selamat belajar!
 

METAFORA

1.         Metafora merupakan perbancingan secara terus atau langsung tanpa menggunakan kata-kata seperti, umpama, bak, bagai, ibarat, dan sebagainya.

2.         Lihat contoh metafora yang berikut.

(a)          Hatinya karam dalam samudera hampa.
(b)          Pelbagai soalan terus muncul dalam lautan fikirannya.
3.         Dalam contoh (a) di atas, pengarang membandingkan kehampaan itu dengan samudera.  Samudera di sini melambangkan atau menunjukkan sesuatu yang sangat luas atau banyak.  Secara mudahnya, maksud samudera hampa ialah berasa sangat hampa.

4.         Dalam contoh (b) pula, pengarang membandingkan fikirannya dengan lautan.  Lautan itu melambangkan sesuatu yang luas.  Maksud metafora itu ialah fikirannya sangat luas.

HIPERBOLA

1.         Hiperbola merupakan sejenis bahasa kiasan yang digunakan untuk menyatakan sesuatu secara berlebih-lebihan daripada maksud yang sebenarnya.

2.         Yang berikut ialah contoh hiperbola.

Akmal sedar betapa kasihnya Annyss pada Eyrique.  Seribu lautan sanggup direnangi, sejuta bintang sanggup dilewati.

3.         Dalam contoh di atas, frasa seribu lautan dan sejuta bintang merupakan suatu gambaran yang berlebih-lebihan kerana di dunia ini bilangan lautan tidak sampai seribu dan bilangan bintang pula tidak terkira jumlahnya.  Gambaran secara berlebih-lebihan itu digunakan untuk menunjukkan betapa mendalamnya perasaan sayang Annyss kepada Eyrique.
 
Sumber :  http://keligit97lense.blogspot.com/2011/01/nota-komsas-aspek-dan-istilah-sastera.html

Wednesday, July 30, 2014

Salam Aidilfitri..



hola..
salam lebaran buat semua pembaca blog dunia inspirasi kami..
maaf zahir batin dari kami bertiga wanita-wanita yang sentiasa memberi inspirasi kepada kamu-kamu sekalian ;P hahaha
salam kosong-kosong..



Thursday, June 26, 2014

Setahun Berlalu

Teks : Fyda Adim
Foto : Blog Apen-Idariana

Assalamualaikum....

Selamat pagi semua.  Sedang termenung sendirian memerhatikan skrin komputer tiba-tiba fikiran menerawang jauh mengimbas kembali kisah setahun yang lepas.  Kenangan yang tidak dapat dilupakan.  Memberikan pengalaman pada diri sendiri dan juga kawan-kawan.  Pertama kali menghadiri ujibakat Kotex yang tidak pernah terlintas dalam fikiran.  Pertama kali menari di depan orang ramai.  Huh! Memang mendebarkan pada mulanya.  Hehehe...Sekurang-kurangnya memang memberikan sedikit keberanian dan keyakinan dalam diri.

 Dari kiri Faezah, Myra dan Fyda.

Dan yang paling manis apabila mendapat hadiah daripada menulis.  Kini bidang penulisan menjadi sebahagian dalam diri.  Walaupun banyak kekangan untuk menulis akan dicuba juga walau sehari sepatah kata.  Sekian...


Friday, June 6, 2014

LA TAHZAN...


bila hilang matahari dan datang hujan tak bermakna gelap selamanya,
 kelak pasti akan datang pelangi yang membawa beribu warna.


LA TAHZAN.. 

Thursday, March 13, 2014

Kerana Terluka


KERANA TERLUKA

Duhai hati...

Sekali terluka memberi rasa-rasa berbisa
Saat itu diri dihimpit duka dan lara
Bukan mudah merawat setelah terluka
Dalam air mata yang meluruh hati berdoa

Berdoa selagi diri terdaya
Agar diri tidak diselubungi pelbagai rasa
Demi sekeping hati yang tidak mudah diselami 
manusia
Hanya rintihan doa menjadi peneman jiwa

Duhai hati...

Saat diri mahu menyembah bumi
Diri tidak mampu menanggung segala
Diadu merintih penuh syahdu padaNya
Demi mengubati hati yang sedang terluka

Duhai hati...

Jangan dikenang peristiwa lama
Yang tidak akan mengubah apa-apa
Jika redha pengubat segala rasa
Pasti tenang merentas peristiwa yang tidak terduga...

Nukilan : Qaseh Qistina 

Wednesday, March 12, 2014

PROLOG : Rindu Pengubat Luka


TAJUK : RINDU PENGUBAT LUKA

PROLOG
Perodua MYVI oren meluncur laju di tengah-tengah jalan raya yang agak sesak.  Pedal minyak ditekan kuat meninggalkan saki-baki perasaan yang sedang bersarang di hati tanpa arah tuju yang pasti.  Meter di papan pemuka tidak diendah walaupun sudah menjejaki ke angka seratus kilometer sejam.  Tanganku masih setia melekap di stereng.  Itulah yang paling laju pernah aku pandu.  Sebelum ini akulah pemandu yang berhemah.  Tetapi bukan untuk hari ini.  Hatiku dipagut kesedihan.  Aku mahu lari daripada segala-galanya.  Pemanduan masih lagi diteruskan walaupun tanpa arah tuju yang sebenar dengan bertemankan celoteh DJ radio Dina Nadzir yang bertugas petang itu.  Fikiranku menerawang mengingatkan kembali peristiwa tadi.  Akibat kejadian tadi aku berada di dalam kereta memandu tanpa hala tuju sambil membawa rajuk di hati.

Aku hampir tidak dapat mengawal diri. Hatiku amat sakit setelah mendengar pengakuan itu.  Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan aku tatkala ini.  Bagaikan batu besar yang sedang menghempap diri dan aku tidak berdaya melakukan apa-apa. Fikiranku seakan kosong.  Dugaan apa ini? Kenapa dia tiba-tiba berubah? Kenapa dia menjadi seperti ini? Hati ini bagai ditikam dengan belati tajam ketika mendengar kata-kata yang tidak segan silu keluar daripada mulutnya.  Kenapa tidak ditikam sahaja aku tadi? Kenapa dia sanggup melakukan ini kepadaku?Wajah anak-anakku satu-persatu bermain-main di mata.  Mujurlah ketika ini mereka di rumah ibuku. Biarlah aku tanggung sendirian selagi termampu.

Aku mengelamun jauh sambil meneruskan pemanduan.  Lamunanku termati sebaik sahaja mendengar iPhone berbunyi nyaring memainkan lagu ‘Hanya Aku’ menandakan ada panggilan masuk.  Aku menjeling pada skrin telefon untuk mengetahui siapa gerangan yang menelefon namun tidak aku pedulikan sebaik sahaja aku melihat nama yang tertera.  Saat ini perasaan benci menyelubungi diri.  Sudah terasa tawar hati.  Mendengar suara pun aku sudah tidak mampu.  Akhirnya, aku hanya membiarkan saja telefon bimbitku berbunyi sehinggalah ia berhenti sendiri.  Beberapa minit kemudian, kedengaran pula bertalu-talu mesej masuk.  Namun aku biarkan juga tanpa ada niat untuk membaca. Aku mengeluh lemah.  Hatiku perlu dirawat terlebih dahulu sebelum menghadapinya. Tanganku pantas memusing stereng dan terus memandu laju.

Sedang aku sibuk melayan perasaan, radio yang sedari tadi kudengar DJnya sahaja yang berceloteh memutarkan pula lagu ‘Patah Hati’ nyanyian Hafiz.  Lagu yang sedang berkumandang itu terus-terus sahaja mengusik hati kecilku yang sememangnya sedang berduka.  Aku cuba menyeka air mata yang sudah berada di hujung-hujung kelopak mata.  Bila-bila masa sahaja boleh membasahi pipiku.  Akhirnya air mata itu mengalir terus membasahi pipi.  Sekuat-kuat aku, rupanya aku lemah.  Tanganku pantas sahaja menekan punat dan mematikan radio.

Puas memandu akhirnya Myviku diberhentikan di tepi Pantai Puteri.  Sejauh ini perjalananku.  Aku perhatikan sekeliling pantai, terdapat beberapa orang sedang berjalan-jalan di pesisir pantai.  Ada juga yang sedang duduk-duduk sahaja.  Aku menekup muka dan cuba menyeka air mata daripada terus mengalir.  Mataku sudah merah akibat menangis tidak henti-henti.  Di pantai ini segalanya tercipta.  Di sinilah sebuah perkenalan bermula dan cinta bersemi.  Namun segalanya telah dirosakkan dengan sebuah pengkhianatan.

Sebelum keluar dari kereta, aku betulkan tudung dan mengelap sisa-sisa air mata.  Mahu mencari ketenangan untuk diri sendiri.  Aku berjalan lemah menuju ke pesisir pantai.  Langkahku terhenti pada sebuah batu besar yang terdapat di situ.  Aku terus membuka sandal dan melabuhkan punggungku di situ beralaskan sandal. 

Laut biru yang tenang aku renung jauh.  Manik mata hitamku menatap hamparan laut yang terbentang luas di hadapanku.  Sesekali terasa hembusan angin laut menerpa wajah.  Dan kedinginannya menyapa.  Di tengah-tengah laut kelihatan bot-bot kecil berduyun mahu pulang ke pesisir pantai.  Aku mengeluh perlahan.  Kenapalah dugaan ini harus aku pikul? Kenapa aku harus diuji sebegini? Aku tidak sekuat itu yang mampu diuji sehingga tahap ini? Kalau diberi cermin untuk aku lihat wajahku ketika ini pasti terserlah kekecewaan dan kesedihan yang sedang menerpa diri ini.  Tangisan menghambur lagi tanpa aku tahan-tahan untuk memuaskan hati sendiri.  Sebahagian tudung bawal yang aku pakai menutup dada sudah lencun dengan air mata.  Biarlah aku menangis semahunya agar dapat menghilangkan kesedihan.

Sedang aku kebingungan sendirian bersama air mata yang tidak putus-putus mengalir aku disapa seseorang.

Assalamualaikum.”  Suara seorang lelaki memberi salam dari belakang.  Air mata yang membasahi pipi cepat-cepat aku seka, menoleh ke arah lelaki itu dan berlagak biasa.  Aku cuba mengukir senyuman. Tawar...

Tanpa teragak-agak aku menjawab salamnya.

Cik ada masalah ke? Dari tadi saya tengok cik menangis?”

Bersambung....

Hargai Yang Ada...




Wednesday, January 29, 2014

~Salam Buat Semua~

Assalamualaikum...

Selamat pagi semua.  Sudah agak lama blog ini terbengkalai dan sudah seperti dianaktirikan.  Bukan tidak mahu mencoretkan di sini tetapi kekangan masa masing-masing membuatkan blog ini agak dipinggirkan.  Rasa masih belum terlambat mahu mengucapkan selamat tahun baru 2014.

Urusan kami bertiga masih berjalan seperti biasa cuma sudah jarang dapat bersama.  Peraduan juga sudah agak lama ditinggalkan.  Tapi masih lagi merangkak-rangkak menyiapkan suatu tugasan.  Ermm, entah boleh terlaksana atau tidak.  Hendak seribu daya tak nak seribu dalih.  Betul tak?Semoga dipermudahkanlah hendaknya.

 
Apa-apa pun semoga urusan kami bertiga akan dipermudahkan samada untuk diri sendiri mahupun untuk keluarga.  In sha Allah...

With Love,
F.A