Suka Cerita Bff-Inspiration?Silalah LIKE!

Wednesday, March 12, 2014

PROLOG : Rindu Pengubat Luka


TAJUK : RINDU PENGUBAT LUKA

PROLOG
Perodua MYVI oren meluncur laju di tengah-tengah jalan raya yang agak sesak.  Pedal minyak ditekan kuat meninggalkan saki-baki perasaan yang sedang bersarang di hati tanpa arah tuju yang pasti.  Meter di papan pemuka tidak diendah walaupun sudah menjejaki ke angka seratus kilometer sejam.  Tanganku masih setia melekap di stereng.  Itulah yang paling laju pernah aku pandu.  Sebelum ini akulah pemandu yang berhemah.  Tetapi bukan untuk hari ini.  Hatiku dipagut kesedihan.  Aku mahu lari daripada segala-galanya.  Pemanduan masih lagi diteruskan walaupun tanpa arah tuju yang sebenar dengan bertemankan celoteh DJ radio Dina Nadzir yang bertugas petang itu.  Fikiranku menerawang mengingatkan kembali peristiwa tadi.  Akibat kejadian tadi aku berada di dalam kereta memandu tanpa hala tuju sambil membawa rajuk di hati.

Aku hampir tidak dapat mengawal diri. Hatiku amat sakit setelah mendengar pengakuan itu.  Hanya Allah sahaja yang tahu perasaan aku tatkala ini.  Bagaikan batu besar yang sedang menghempap diri dan aku tidak berdaya melakukan apa-apa. Fikiranku seakan kosong.  Dugaan apa ini? Kenapa dia tiba-tiba berubah? Kenapa dia menjadi seperti ini? Hati ini bagai ditikam dengan belati tajam ketika mendengar kata-kata yang tidak segan silu keluar daripada mulutnya.  Kenapa tidak ditikam sahaja aku tadi? Kenapa dia sanggup melakukan ini kepadaku?Wajah anak-anakku satu-persatu bermain-main di mata.  Mujurlah ketika ini mereka di rumah ibuku. Biarlah aku tanggung sendirian selagi termampu.

Aku mengelamun jauh sambil meneruskan pemanduan.  Lamunanku termati sebaik sahaja mendengar iPhone berbunyi nyaring memainkan lagu ‘Hanya Aku’ menandakan ada panggilan masuk.  Aku menjeling pada skrin telefon untuk mengetahui siapa gerangan yang menelefon namun tidak aku pedulikan sebaik sahaja aku melihat nama yang tertera.  Saat ini perasaan benci menyelubungi diri.  Sudah terasa tawar hati.  Mendengar suara pun aku sudah tidak mampu.  Akhirnya, aku hanya membiarkan saja telefon bimbitku berbunyi sehinggalah ia berhenti sendiri.  Beberapa minit kemudian, kedengaran pula bertalu-talu mesej masuk.  Namun aku biarkan juga tanpa ada niat untuk membaca. Aku mengeluh lemah.  Hatiku perlu dirawat terlebih dahulu sebelum menghadapinya. Tanganku pantas memusing stereng dan terus memandu laju.

Sedang aku sibuk melayan perasaan, radio yang sedari tadi kudengar DJnya sahaja yang berceloteh memutarkan pula lagu ‘Patah Hati’ nyanyian Hafiz.  Lagu yang sedang berkumandang itu terus-terus sahaja mengusik hati kecilku yang sememangnya sedang berduka.  Aku cuba menyeka air mata yang sudah berada di hujung-hujung kelopak mata.  Bila-bila masa sahaja boleh membasahi pipiku.  Akhirnya air mata itu mengalir terus membasahi pipi.  Sekuat-kuat aku, rupanya aku lemah.  Tanganku pantas sahaja menekan punat dan mematikan radio.

Puas memandu akhirnya Myviku diberhentikan di tepi Pantai Puteri.  Sejauh ini perjalananku.  Aku perhatikan sekeliling pantai, terdapat beberapa orang sedang berjalan-jalan di pesisir pantai.  Ada juga yang sedang duduk-duduk sahaja.  Aku menekup muka dan cuba menyeka air mata daripada terus mengalir.  Mataku sudah merah akibat menangis tidak henti-henti.  Di pantai ini segalanya tercipta.  Di sinilah sebuah perkenalan bermula dan cinta bersemi.  Namun segalanya telah dirosakkan dengan sebuah pengkhianatan.

Sebelum keluar dari kereta, aku betulkan tudung dan mengelap sisa-sisa air mata.  Mahu mencari ketenangan untuk diri sendiri.  Aku berjalan lemah menuju ke pesisir pantai.  Langkahku terhenti pada sebuah batu besar yang terdapat di situ.  Aku terus membuka sandal dan melabuhkan punggungku di situ beralaskan sandal. 

Laut biru yang tenang aku renung jauh.  Manik mata hitamku menatap hamparan laut yang terbentang luas di hadapanku.  Sesekali terasa hembusan angin laut menerpa wajah.  Dan kedinginannya menyapa.  Di tengah-tengah laut kelihatan bot-bot kecil berduyun mahu pulang ke pesisir pantai.  Aku mengeluh perlahan.  Kenapalah dugaan ini harus aku pikul? Kenapa aku harus diuji sebegini? Aku tidak sekuat itu yang mampu diuji sehingga tahap ini? Kalau diberi cermin untuk aku lihat wajahku ketika ini pasti terserlah kekecewaan dan kesedihan yang sedang menerpa diri ini.  Tangisan menghambur lagi tanpa aku tahan-tahan untuk memuaskan hati sendiri.  Sebahagian tudung bawal yang aku pakai menutup dada sudah lencun dengan air mata.  Biarlah aku menangis semahunya agar dapat menghilangkan kesedihan.

Sedang aku kebingungan sendirian bersama air mata yang tidak putus-putus mengalir aku disapa seseorang.

Assalamualaikum.”  Suara seorang lelaki memberi salam dari belakang.  Air mata yang membasahi pipi cepat-cepat aku seka, menoleh ke arah lelaki itu dan berlagak biasa.  Aku cuba mengukir senyuman. Tawar...

Tanpa teragak-agak aku menjawab salamnya.

Cik ada masalah ke? Dari tadi saya tengok cik menangis?”

Bersambung....

1 comment:

  1. salam....singgah sekejap...lama tak update kan??? *sambil bw rotan* update cepat...hihihi.....

    ReplyDelete

Terima Kasih Kerana Sudi Meninggalkan Komen Anda..Sila Berkunjung Lagi Ke Blog Ini